Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘balai islam’ Category

Alkisah Cintan Cintun..

Assalamualaikum. Entah mengapa semenjak kebelakangan ini selalu aja terserempak dengan pasangan yang sedang dibius cinta di sekitar KK3. Adus! Ke sana ada, ke sini ada…Adakah mempunyai pakwe atau makwe menjadi satu trend remaja hari ini.. Tapi trend-trend juga, jangan lupa pada yang Esa!

Di sini saya selitkan Teori Evolusi Cinta dari http://saifulislam.com buat renungan kita bersama.. InsyaAllah!

evolusicinta-e2

“Korang ni asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Siti kepada rakan sebiliknya.

“Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?” balas Nur.

Keras bunyinya.

Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.

“Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun. Come on la wei!” Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.

“Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini banyak pula songel kau?” bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim.

Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perlakuan mereka.

‘KEBIJAKAN’ BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU

Seperti gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu. Tujuannya ialah supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada ibadah khusus mereka kepada Allah.

Namun kaum yang bijak ini, pantas bermain helah.

Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka.

“Salah ikan, bukan salah kami!” barangkali begitulah helah mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“”Dan tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik lagi durhaka” [al-A’araaf 7: 163]

Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal dikurniakan Allah kepada manusia agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya, bukan berputar belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.

“Asfala saafileen,” kata al-Quran.

Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!” [al-Baqarah 2: 65]

Inilah TEORI EVOLUSI CINTA. Bermula dengan sebaik-baik kejadian, mereka bermain cinta murahan beralaskan akal dan hujah-hujahnya. Dengan cinta sehina itu, manusia beransur-ansur turun sifat kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi benteng iman. Akhirnya menjadi kera.

Kera itulah barangkali yang terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet terkena sumpahan Allah ke atas kaum yang mensesiakan akal kurniaan Tuhan untuk menipu Tuhan.

BATAS PERGAULAN

Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Kalimah mataa’an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran, mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan, tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia dengan perantaraan HIJAB.

Hijab itu tafsirannya luas.

Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.

Apakah tujuannya semua itu?

Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.

“Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith, ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’.

Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima sms pada jam 5 pagi tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.

Iaitulah soal HATI!

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”

Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?

Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.

Mulut kalian tidak menyebut.

Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.

Tubuh kamu tidak menampakkan calar.

Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu.

Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.

Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik Dia.

Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

kerabunga1

Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.

Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.

Read Full Post »

Ahlan Wasahlan 1430H

maalhijrah

Petang ini bermulanya episod tahun baru yang sebenar bagi Umat Islam seluruh dunia yang sememangnya memerlukan kita merenungi tentang konsep TAHUN BARU HIJRAH dan pengertian PENGHIJRAHAN yang sebenarnya bagi Umat Islam.

Cuba kita renungi kembali sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah yang telah mencetus satu perubahan besar dalam sejarah Umat Islam. Walaupun sebelum itu telah berlaku beberapa penghijrahan kecil seperti penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah dan Madinah namun ia hanya sekadar penghijrahan biasa sahaja. Walaupun dari sudut pandangan kasar kita, penghijrahan rasul ini dilihat seolah-olah seperti ‘undur ke belakang’ atau semata-mata melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Mekah namun sebenarnya penghijrahan tersebut merupakan satu arahan dan perintah dari Allah s.w.t bagi meneruskan kewajipan sebagai seorang Rasulullah s.w.t untuk menegakkan Panji Islam dan melaksanakan suruhan Allah s.w.t di dalam mewujudkan satu komunit Islam yang hidup bermasyarakat dan bernegara.

Kita renungi semula SEJARAH PENGHIJRAHAN RASUL – HIJRATUL RASUL ini agar generasi sekarang tidak lupa kepada pengertian Hijrah yang sebenar serta sejarah yang berlaku di sebaliknya. Hijrah ini bermula apabila pemuka-pemuka Quraisy yang merasa tercabar dengan penyebaran Islam di Kota Mekah telah melakukan pelbagai bentuk seksaan dan kezaliman terhadap Muslimin pada waktu itu. Anak isteri dipisahkan, harta benda dirampas, nyawa diragut, dipukul dan diseksa dengan seksaan yang begitu dahsyat dan mengerikan, namun tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu tidak berjaya juga menghalang kebangkitan Islam yang semakin luas penyebarannya dari sehari ke sehari.

Maka para pemuka Quraisy yang mewakili kabilah masing-masing telah mengadakan MESYUARAT TERGEMPAR atau persidangan pada 26 Safar tahun ke 14 kenabiaan di Darul Nadwah bagi membincangkan isu Islam, Umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam persidangan tersebut iblis turut menghadirinya dengan menyamar sebagai Syeikh An-Najd (Seorang tua dari Najd) yang turut memberi cadangan dan usul yang jahat. Persidangan tersebut akhirnya berakhir dengan menerima cadangan dari Abu Al-Aswad agar Rasulullah s.a.w dibuang negeri dan kemudian menerima pula cadangan dari Abu Al-Buktari yang mencadangkan agar Rasulullah s.a.w dipenjarakan.

Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Jibril tentang pakatan jahat kaum Musyrikin tersebut dan memerintahkan agar Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yathrib (Madinah). Rasulullah s.w.t telah memberitahu sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq r.a tentang makluman dan perintah dari Allah s.w.t tersebut dan membuat persiapan dan perancangan untuk berhijrah dari tanah kelahirannya itu.

Ringkasnya, Rasulullah s.a.w telah memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib r.a agar berbaring menggantikannya di tempat pembaringan dan menyampaikan beberapa pesanan dan amanah kepada Ali. Helah yang dilakukan oleh baginda ini telah berjaya memperdayakan pengintip-pengintip Quraisy yang telah mengintai tempat pembaringan Rasulullah s.a.w dan melihat sekujur tubuh sedang tidur yang disangkakan Rasulullah s.a.w itu. Rasulullah s.a.w telah berjaya melarikan diri dari kepungan Quraisy tersebut tanpa disedari oleh mereka walaupun seorang pun.

Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah bertolak ke arah selatan menuju ke ‘Gua Thur‘ dan bermalam di dalamnya selama 3 malam. Dalam tempoh tersebut, Asma dan Aisyah telah membawa bekalan makanan manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik bagi mendengar sebarang berita atau perancangan dari pembesar Musyrikin, dan Amir bin Fuhaira’ pula mengembala kambing di sepanjang laluan yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a bagi menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka berdua itu. Sewaktu Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar berada di Gua Thur ini telah berlaku beberapa mukjizat seperti sarang labah-labah dan sebagainya.

Pihak Quraisy yang kecewa akibat tidak berjaya menangkap mereka berdua telah mengumumkan ‘SPECIAL OFFER‘ berupa ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya memberkas 2 orang pelarian yang amat-amat dikehendaki itu. Tawaran ini telah berjaya menarik minat Suraqah bin Malik yang telah berjaya mengesan jejak mereka berdua dan mengejarnya dari belakang. Namun impiannya untuk mendapatkan 100 ekor unta tersebut berkecai akibat beliau dan kudanya tersungkur rebah ke tanah.

Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar As-Siddiq r.a telah meneruskan perjalanan mereka berdua melalui beberapa perkampungan di antaranya ‘Tihama‘ dan melintasi padang pasir yang luas dalam keadaan panas terik yang membakar padang pasir sahara. Perjalanan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan dengan melintasi padang pasir, batu-batu kapur, lembah-lembah curam, binatang berbisa, kedinginan malam hari dan 1001 macam bentuk kepayahan itu berjaya diharungi dengan hanya berbekalkan keimanan, ketabahan, kesabaran, kepatuhan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Akhirnya Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah tiba di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal tahun ke 14 Kenabiaan, sebahagian ulamak mengatakan hari tersebut bertepatan dengan 12 Rabiul Awwal. Baginda telah menetap di situ selama 4 hari dan mendirikan Masjid Quba’.

Maka pada hari Jumaat, 16 Rabiul Awwal bergemalah laungan “Thola’al Badrul Alaina” yang merupakan laungan nasyid Selamat Datang oleh penduduk “Yathrib” yang diiringi laungan takbir memecah kesunyian bandar tersebut. Rasulullah s.a.w menunaikan solat Jumaat di ‘Yathrib’ dan menukarkan nama bandar ‘Yathrib’ itu kepada ‘Madinaturrasul‘ atau ‘Al-Madinah‘. Maka dengan itu tertegaklah sebuah negara Islam Madinah dengan rasminya dan disitulah juga merupakan titik permulaan bagi penyebaran Islam ke serata dunia.

Unta Rasulullah s.a.w terus bergerak menuju sehingga ke tempat jemuran kepunyaan 2 orang anak yatim iaitu Shal dan Suhail bin Amr, Rasulullah s.a.w kemudian membeli tempat itu untuk membangunkan masjid dan tempat kediamannya. Rasulullah s.a.w telah menumpang di rumah Abu Ayyub bin Khalid bin Zaid sementara menunggu tempat tinggalnya siap dibina.

Detik bersejarah tersebut telah disaksikan oleh seluruh penduduk Madinah termasuk golongan Yahudi yang telah melihat kedatangan seorang Rasul yang membawa amanah dari Allah s.w.t yang kemudiannya berjaya menyatukan puak Aus dan Khazraj serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar yang merupakan satu ikatan persaudaraan yang unggul dan gemilang dalam sejarah Umat Islam.

Oleh itu sahabat-sahabat sekalian, jadikan Hijrah ini sebagai satu titik permulaan bagi MENGUKUHKAN KEIMANAN, MENINGKATKAN KETAKWAAN dan MENEGUHKAN SYARIAT ISLAMIAH agar kita menjadi individu Muslim yang aktif, positif, produktif dan inovatif agar bersesuaian dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Kamu merupakan sebaik-baik Ummah yang telah dikeluarkan untuk seluruh umat manusia…..“

Renungilah detik-detik bersejarah yang tersimpan di dalam Awal Muharram atau Maal Hijrah ini dan perlu diketengahkan dan diperbincangkan sekurang-kurangnya sekali setahun. Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian bahawa di dalam peristiwa ini tersimpannya pelbagai ‘elemen-elemen’ yang boleh dijadikan pedoman dan iktibar bagi menyuburkan ‘Ruh Islamiah’ yang mungkin semakin hari semakin di’gelap’kan oleh pelbagai bentuk anasir maksiat dan mungkar yang semakin canggih dan mempersonakan.

Selamat datang 1430H… Cintai, Fahami, Jiwai Sirah.

Read Full Post »

(Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah 10H di Lembah Uranah, Gunung Arafah)*

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ‘Ibadah haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu..

e057bf27360e4d84

Read Full Post »

Read Full Post »

Nama SURAU…

Salam. Sebenarnya entri ini dihantar adalah untuk meminta cadangan warga Kurshiah khususnya AJK JKP Balai Islam untuk memberikan cadangan nama untuk Surau KK3. Saya pernah ke kolej-kolej lain dan surau kolej mereka mempunyai nama yang tersendiri. Molek juga jika Surau KK3 juga ada nama.  Jika sesiapa mempunyai cadangan nama yang menarik bolehlah menghantarnya di sini.

Read Full Post »