Feeds:
Posts
Comments

Archive for October 9th, 2008

PENGERTIAN TAUHID
Perkataan Tauhid berasal dari perkataan Arab (wahada) yang bererti mengesakan. Dari segi istilah bermaksud beritiqad dan mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala itu esa dan tunggal, tiada syirik atau sekutu baginya. Fahaman secara praktikalnya tauhid ialah suatu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Tuhan yang Maha Esa dan tidak ada sekutu baginya atauupun yang menyerupaiNya. Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tiada sesiapa yang setara denganNya.(Al-Ikhlas:1-4)

PEMBAHAGIAN TAUHID
Tauhid terbahagi kepada tiga:
1. Tauhid Rububiyyah
2. Tauhid Uluhiyyah
3. Tauhid Asma was Sifaat

Tauhid Rububiyyah
Tauhid rububiyyah bererti mempercayai Allah sebagai Rabb atau Pencipta dan Penguasa terhadap sesuatu. Allahlah Pencipta sekalian makhluk dan alam ini, Pemilik, Pentadbir dan Pemberi segala-galanya. Allah yang menghidukan dan mematikan sesuatu, Dia yang berkuasa memberi manfaat dan mudharat terhadap sesuatu dan tiada siapa yang berhak dan berkuasa untuk melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan tanpa izinNya.
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tiada siapa yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambaNya dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Tauhid Uluhiyyah
Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai Tauhid Ibadah. Tauhid Uluhiyyah ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah subhaanahu wa taaala shaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahanNya. Dia sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepadaNya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Hanya Engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engaku sahajalah yang kami memohan pertolongan.(Al-Faatehah:5)
Inilah konsep ibadah atau pengabdian sebenarnya yang membezakan antara mukmin dengan kafir iaitu setiap perbuatan lahiriyyah dan batiniyyah dilakukan semata-mata kerana Allah subhaanahu wa taaala dan untuk mendapatkan keredhaanNya. Ini bererti meletakkan seluruh perbuatan, percakapan dan tingkah laku di atas perintah dan petunjuk Allah semata-mata.

Tauhid Asma was Sifaat
Tauhid Asma was Sifat ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah subhaanahu wa taaala mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesaranNya. Segala nama dan sifat Allah itu tidak sama dengan nama dan sifat makhluk. Walaupun nama-nama dan sifat-sifat tersebut sama pada sebutannya dengan nama dan sifat makhluk, tetapi hakikatnya ia tidak menyerupai nama dan sifat makhluk. Firman Allah subhaanhu wa taaala:
Tiada suatu pun yang sebanding denganNya (dengan zatNya, namaNya dan sifatNya), dan Dialah Yang Mendengar Lagi Maha Melihat.
Di dalam ayat lain Allah subhaanahu wa taaala berfirman:
Dan bagi Allah itu, nama-nama yang baik. Serulah dan berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya, mereka akan mendapat balasan akan apa yang mereka kerjakan.

PERTAUTAN KETIGA-TIGA JENIS TAUHID
Seseorang Muslim mestilah mentauhidkan Allah subhaanahu wa taaala pada ketiga-tiga jenis tauhid ini. Jika tidak, dia tidak dianggap sebagai seorang Mukmin. Seseorang Mukmin wajib beritiqad bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Rabb bagi segala perkara dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dia juga wajib mengaku dan beriman bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan mempunyai nama-nama yang layak denganNya. Setelah seseorang beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini maka barulah dia dikatakan telah beriman dengan Allah.

Tauhid Rububiyyah diiktiiraf dan diakui oleh semua manusia sama ada seorang Muslim atau kafir. Oleh itu, kalau seseorang hanya mengakui dan beriman kepada tauhid ini sahaja tanpa disetai oleh tauhid-tauhid lain, maka dia belum boleh dianggap sebagai seorang Muslim. Fitrah Insaniyyah sudah sedia mengenali dan mengakui rububiyyah Allah subhaanahu wa taaala. Tetapi tauhid ini tidak boleh diingkari walaupun ia diakui oleh semua manusia. Firman Allah subhaanu wa taaala:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka demikian tidak mengingkari Allah) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)
Segala pengakuan manusia terbukti melalui ibadatnya yang terkandung dalam tauhid uluhiyyah. Apabila seseorang beriman dengan tauhid uluhiyyah, maka secara tidak langsung dia beriman dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Ini kerana, tauhid uluhiyyah terkandung di bawah tauhid-tauhid lain dan sebaliknya. Seseorang yang beriman dengan tauhid rububiyyah sahaja tidak semestinya beriman dengan uluhiyyah Allah. Ada dari mereka yang beriman dengan rububiyyah Allah tetapi menyembah patung, berhala, bulan dan seumpamanya tetapi tidak mentaati Allah.

Begitu juga seseorang yang beriman dengan tauhid asma was sifat kadang-kadang kufur dengan uluhiyyah. Tetapi jika dia beriman dengan tauhid uluhiyyah dan menyembah Allah subhaanahu wa taaala, dia juga beriman dengan dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Tauhid uluhiyyah berasaskan ucapan (Laa Ilaaha Illa Allah). Manusia dijadikan untuk menyembah Allah. Inilah intisari tauhid uluhiyyah.
Jadi untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati, seseorang itu wajib beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini serentak tanpa mengasingkan di antara satu sama lain.

Read Full Post »