Feeds:
Posts
Comments

Archive for October, 2008

Asalamualaikum WBT..

Musim peperiksaan sem 1 UM sudah bermula..sempena dengan itu, JKP Balai Islam akan menganjurkan majlis solat hajat pada setiap hari, bermula pada minggu ulangkaji (study week) selepas solat Maghrib di Surau KK3..

Marilah bersama – sama turun ke surau untuk menunaikan solat fardhu dan solat sunat beramai – ramai dan sama – sama memohon hajat daripada Allah SWT. Moga – moga kita akan diberikan kecemerlangan dalam peperiksaan dan berjaya di dalam hidup, serta ‘cemerlang’ di hari Akhirat yang kekal abadi..


Selamat mengulangkaji dan semoga berjaya!

Read Full Post »

Pada suatu hari Allah SWT memerintahkan malaikat Jibril AS untuk pergi menemui salah satu makhluk ciptaanNya iaitu seekor kerbau dan bertanya kepada kerbau tersebut sama ada ia bersyukur telah diciptakan Allah SWT sebagai seekor kerbau. Malaikat Jibril terus pergi menemui si kerbau tersebut.

Pada waktu siang yang panas itu si kerbau sedang sedang berendam di sebatang sungai. Malaikat Jibril menemui kerbau itu dan kemudian bertanya, “Wahai kerbau, adakah kamu bersyukur telah dijadikan Allah SWT sebagai seekor kerbau?”

Si kerbau menjawab, “MasyaAllah, Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan saya sebagai seekor kerbau, daripada saya dijadikanNya sebagai seekor kelawar yang mandi dengan air kencingnya sendiri.”

Selepas mendengar jawapan kerbau tersebut, malaikat Jibril pergi menemui seekor kelawar yang sedang tidur bergantungan pada dinding gua dan terus bertanya, “Wahai kelawar, adakah kamu bersyukur dijadikan Allah SWT sebagai seekor kelawar?”
Kelawar itu pun menjawab, “MasyaAllah, Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT kerana telah dijadikan sebagai seekor kelawar daripada dijadikanNya sebagai seekor cacing tanah. Tubuhnya lebih kecil, tinggal pula di dalam tanah, berjalan pun menggunakan perutnya”, jawab si kelawar.

Setelah mendengar jawapan kelawar tersebut, malaikat Jibril pun segera menemui seekor cacing yang sedang merayap di atas tanah dan terus bertanya kepada cacing tersebut, “Wahai cacing, adakah kamu bersyukur telah dijadikan Allah SWT sebagai seekor cacing?”
Cacing terbut terus menjawab, “MasyaAllah, Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan saya sebagai seekor cacing, daripada dijadikanNya sebagai seorang manusia. Apabila mereka tidak memiliki iman yang sempurna dan tidak beramal soleh, ketika mereka mati, mereka akan diseksa selama – lamanya”.

Read Full Post »

Nama SURAU…

Salam. Sebenarnya entri ini dihantar adalah untuk meminta cadangan warga Kurshiah khususnya AJK JKP Balai Islam untuk memberikan cadangan nama untuk Surau KK3. Saya pernah ke kolej-kolej lain dan surau kolej mereka mempunyai nama yang tersendiri. Molek juga jika Surau KK3 juga ada nama.  Jika sesiapa mempunyai cadangan nama yang menarik bolehlah menghantarnya di sini.

Read Full Post »

 

BELAJAR sememangnya menyeronokkan tetapi bagi mereka yang belajar dengan hanya tertumpu pada buku sahaja kadangkala mungkin juga membosankan. Oleh itu kita harus mempelbagaikan bahan, kaedah dan gaya belajar agar ianya menjadi aktiviti harian yang mampu dijalankan tanpa terasa sebagai bebanan. 

Bahan – terdapat pelbagai bahan belajar yang boleh digunakan termasuklah buku teks, akhbar, bahan grafik, lakaran peta minda, bahan audio, video, animasi serta bahan dari internet.. Bahan yang mempunyai imej atau yang bercirikan multimedia mampu menarik perhatian kita serta mampu mengekal dan menambahkan daya ingatan terhadap fakta-fakta yang dipelajari. 

Kaedah – belajar sendirian adalah suatu amalan yang baik tetapi kadangkala kita mudah rasa jemu, bosan dan mengantuk. Adalah dicadangkan supaya berinteraksi atau berbincang dengan rakan-rakan berdasarkan bahan yang dipilih. Idea yang bernas daripada rakan-rakan mampu memberi maklum balas serta menjadi asas membetulkan kesilapan yang dilakukan. Mencari bahan dengan melayari Internet mampu menambahkan kemahiran penggunaan komputer di samping mendapat bahan atau fakta terkini. 

Gaya belajar – Gaya belajar juga mempengaruhi segala tindakan kita dalam proses mengulang kaji. Oleh itu gaya belajar juga harus dipelbagaikan termasuk kedudukan kita ketika belajar sama ada secara formal berada di kerusi, duduk di lantai atau bersandar di sofa. Ada juga yang suka belajar sambil mendengar muzik. Amalan ini boleh dilakukan tetapi dalam keadaan terkawal. Muzik yang didengar itu sebaik-baiknya tidak terlalu kuat sehinggakan hilang daya tumpuan belajar. Walau bagaimanapun anda dilarang mendengar muzik ketika melakukan aktiviti belajar seperti menghafal atau membuat latihan yang mempunyai aras kesukaran yang tinggi yang banyak menggunakan daya berfikir. Menonton televisyen ketika belajar adalah dilarang sama sekali. Dalam jangka masa terdekat ini harus mempelbagaikan cara belajar masing-masing. Keseronokan ketika belajar harus dirasai agar apa yang dipelajari itu difahami dan akhirnya mampu menjawab soalan peperiksaan dengan tenang, berkeyakinan dan menepati kehendak soalan.

*selamat berjuang di medan peperiksaan..

Read Full Post »

Assalamualaikum w.b.t

Selamat menghadapi peperiksaan buat semua warga Kurshiah..

Ingin mengucapkan dedikasi dan ucapan buat teman-teman sebilik?

Sekuliah?

Senang sahaja.. tanpa bayaran.

Hantarkan dedikasi Anda di Kurshiahbalai ini.

Hanya klik Dedikasi Buat Teman-teman untuk Exam di atas.

Read Full Post »

Jom Puasa Enam

Bulan Ramadhan yang baru saja berlalu selain banyak membentuk dan mendidik kita, memberi peluang pula bagi kita merebut pahala berlipat ganda sekaligus meningkatkan keimanan serta ketaqwaan.Kini dengan tibanya bulan Syawal iaitu bulan kembali kepada fitrah, boleh menjadi pengukur sejauh mana bulan Ramadhan yang baru saja berlalu telah memberi kesan dalam jiwa kita.

Kalau di bulan Ramadhan kita biasanya merebut peluang untuk mengerjakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Tarawih, Witir, bertadarus atau membaca al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, adakah di bulan-bulan selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?

Antara amalan-amalan sunat yang menjadi rebutan para salihin di bulan Syawal ini ialah amalan puasa sunat enam. Apakah dia puasa sunat enam itu?

Definisi Serta Fadhilat Puasa Enam

Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal bulan Syawal.

Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”

(Hadits Riwayat Imam Muslim)

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”

(Hadits Riwayat Imam Al-Darimi)

Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Hukum Dan Kedudukan Orang Berpuasa Sunat Menghadiri Jemputan Rumah Terbuka

Amalan berziarah atau berkunjung-kunjungan di Hari Raya Aidil-Fitri sudah menjadi adat bagi kita. Tuan rumah sudah pasti menghidangkan berbagai jenis juadah khususnya ketika mengadakan majlis rumah terbuka atau yang lebih biasa disebut dengan “open house”.

Bagi mereka yang sedang berpuasa sunat enam, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan di hari raya ini, apatah lagi jika tuan rumah itu mengkhususkan jemputannya di waktu siang. Sehinggakan ada yang menjadikan alasan berpuasa sunat itu untuk tidak menghadiri jemputan ataupun menjadikannya alasan untuk tidak berpuasa enam.

Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah tiket serta alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Dalam satu hadits riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.”

(Hadits Riwayat Imam Muslim)

Orang yang diundang menghadiri jemputan sedangkan dia berpuasa, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya untuk memakan makanan yang dihidangkan kepadanya oleh tuan rumah. Jika puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa fardhu, misalnya puasa qadha Ramadhan atau puasa nazar maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para hadirin.

Adapun jika sekiranya puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa sunat, maka adalah dibolehkan baginya untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu bahkan adalah sunat baginya untuk berbuka seandainya tuan rumah itu merasa tersinggung jika dia tidak memakan makanan yang dihidangkannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, Baginda bersabda:

Maksudnya: “”Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu.” Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”

(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)

Ini sama halnya dengan tuan rumah yang menjemput ataupun didatangi oleh tetamu padahal tuan rumah itu sedang berpuasa sunat, lalu tetamunya itu berkeberatan untuk memakan makanan yang dihidangkan olehnya dan tidak mahu memakannya kecuali jika tuan rumah yang sedang berpuasa itu turut makan bersamanya – maka dalam hal ini, sebagai menghormati tetamu itu, adalah lebih afdhal bagi tuan rumah itu untuk berbuka dan makan bersama-sama tetamunya tadi kerana Ummu Hani’ Radhiallahu ‘anha sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi berkunjung ke rumahnya, Ummu Hani’ menghidangkan minuman kepada Baginda. Setelah minum, Baginda memberikannya semula kepada Ummu Hani’, lalu Ummu Hani’ pun meminum bakinya. Kemudian Ummu Hani’ pun berkata:

Maksudnya: “Aku telah berdosa, maka mintalah keampunan untukku, Baginda bersabda: Apakah ia (dosamu itu)? Katanya: Aku ini berpuasa, dan aku berbuka. Baginda bersabda: Adakah puasa qadha yang engkau kerjakan itu? (Ummu Hani’) berkata: Bukan. Baginda bersabda: (Berbuka puasa sunat itu) tidak memberi mudharat kepadamu.”

(Hadits Riwayat Imam at-Tirmidzi).

Akan tetapi jika tuan rumah atau tetamu itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika dia meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama baginya untuk terus berpuasa.

Jika dia berbuka juga maka dia tidak akan beroleh pahala puasa yang telah dilakukannya tadi. Berlainan halnya, jika dia berbuka kerana keuzuran misalnya kerana ingin menemani tetamunya makan atau untuk menjaga hati tuan rumah, maka puasanya tadi itu akan diberikan pahala sungguhpun dia tidak dapat menyempurnakannya sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj.

Bagaimanapun, tidak meneruskan puasa sunat tanpa keuzuran adalah makruh di sisi hukum syara‘ berdasarkan zahir firman Allah Ta‘ala dalam Surah Muhammad ayat 33:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu batalkan amalan kamu!”

(Surah Muhammad:33)

Hukum Menqadha Puasa Sunat

Orang yang sedang berpuasa sunat adalah berkuasa ke atas dirinya samada ingin meneruskan puasanya ataupun tidak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Hani‘ Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: “Orang yang sedang berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka.”

(Hadits Riwayat Imam Ahmad)

Menurut pendapat mazhab Imam as-Syafi‘e, orang yang tidak meneruskan puasa sunat samada kerana keuzuran ataupun tidak, maka  tidaklah wajib ke atasnya menqadha puasanya itu  bahkan hukumnya adalah sunat. Ini kerana jika hukum menqadhanya adalah wajib, maka sudah pasti hukum tidak meneruskannya (puasa sunat)  adalah haram.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku membuat makanan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda dan sahabat-sahabat Baginda pun datang. Maka apabila makanan dihidangkan, seorang laki-laki daripada suatu kaum berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu.” Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.””

(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)

Maka ambillah peluang ini dengan sebaiknya kerana puasa enam ini berserta kelebihan-kelebihannya hanya hadir setahun sekali. Jadi janganlah ia dilepaskan begitu saja kerana agama Islam dengan penuh tolak ansur telah memberikan kemudahan bagi kita untuk mengerjakan puasa enam itu bukan dalam suasana hari raya.

Read Full Post »

PENGERTIAN TAUHID
Perkataan Tauhid berasal dari perkataan Arab (wahada) yang bererti mengesakan. Dari segi istilah bermaksud beritiqad dan mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala itu esa dan tunggal, tiada syirik atau sekutu baginya. Fahaman secara praktikalnya tauhid ialah suatu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Tuhan yang Maha Esa dan tidak ada sekutu baginya atauupun yang menyerupaiNya. Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tiada sesiapa yang setara denganNya.(Al-Ikhlas:1-4)

PEMBAHAGIAN TAUHID
Tauhid terbahagi kepada tiga:
1. Tauhid Rububiyyah
2. Tauhid Uluhiyyah
3. Tauhid Asma was Sifaat

Tauhid Rububiyyah
Tauhid rububiyyah bererti mempercayai Allah sebagai Rabb atau Pencipta dan Penguasa terhadap sesuatu. Allahlah Pencipta sekalian makhluk dan alam ini, Pemilik, Pentadbir dan Pemberi segala-galanya. Allah yang menghidukan dan mematikan sesuatu, Dia yang berkuasa memberi manfaat dan mudharat terhadap sesuatu dan tiada siapa yang berhak dan berkuasa untuk melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan tanpa izinNya.
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tiada siapa yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambaNya dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Tauhid Uluhiyyah
Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai Tauhid Ibadah. Tauhid Uluhiyyah ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah subhaanahu wa taaala shaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahanNya. Dia sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepadaNya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Hanya Engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engaku sahajalah yang kami memohan pertolongan.(Al-Faatehah:5)
Inilah konsep ibadah atau pengabdian sebenarnya yang membezakan antara mukmin dengan kafir iaitu setiap perbuatan lahiriyyah dan batiniyyah dilakukan semata-mata kerana Allah subhaanahu wa taaala dan untuk mendapatkan keredhaanNya. Ini bererti meletakkan seluruh perbuatan, percakapan dan tingkah laku di atas perintah dan petunjuk Allah semata-mata.

Tauhid Asma was Sifaat
Tauhid Asma was Sifat ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah subhaanahu wa taaala mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesaranNya. Segala nama dan sifat Allah itu tidak sama dengan nama dan sifat makhluk. Walaupun nama-nama dan sifat-sifat tersebut sama pada sebutannya dengan nama dan sifat makhluk, tetapi hakikatnya ia tidak menyerupai nama dan sifat makhluk. Firman Allah subhaanhu wa taaala:
Tiada suatu pun yang sebanding denganNya (dengan zatNya, namaNya dan sifatNya), dan Dialah Yang Mendengar Lagi Maha Melihat.
Di dalam ayat lain Allah subhaanahu wa taaala berfirman:
Dan bagi Allah itu, nama-nama yang baik. Serulah dan berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya, mereka akan mendapat balasan akan apa yang mereka kerjakan.

PERTAUTAN KETIGA-TIGA JENIS TAUHID
Seseorang Muslim mestilah mentauhidkan Allah subhaanahu wa taaala pada ketiga-tiga jenis tauhid ini. Jika tidak, dia tidak dianggap sebagai seorang Mukmin. Seseorang Mukmin wajib beritiqad bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Rabb bagi segala perkara dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dia juga wajib mengaku dan beriman bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan mempunyai nama-nama yang layak denganNya. Setelah seseorang beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini maka barulah dia dikatakan telah beriman dengan Allah.

Tauhid Rububiyyah diiktiiraf dan diakui oleh semua manusia sama ada seorang Muslim atau kafir. Oleh itu, kalau seseorang hanya mengakui dan beriman kepada tauhid ini sahaja tanpa disetai oleh tauhid-tauhid lain, maka dia belum boleh dianggap sebagai seorang Muslim. Fitrah Insaniyyah sudah sedia mengenali dan mengakui rububiyyah Allah subhaanahu wa taaala. Tetapi tauhid ini tidak boleh diingkari walaupun ia diakui oleh semua manusia. Firman Allah subhaanu wa taaala:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka demikian tidak mengingkari Allah) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)
Segala pengakuan manusia terbukti melalui ibadatnya yang terkandung dalam tauhid uluhiyyah. Apabila seseorang beriman dengan tauhid uluhiyyah, maka secara tidak langsung dia beriman dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Ini kerana, tauhid uluhiyyah terkandung di bawah tauhid-tauhid lain dan sebaliknya. Seseorang yang beriman dengan tauhid rububiyyah sahaja tidak semestinya beriman dengan uluhiyyah Allah. Ada dari mereka yang beriman dengan rububiyyah Allah tetapi menyembah patung, berhala, bulan dan seumpamanya tetapi tidak mentaati Allah.

Begitu juga seseorang yang beriman dengan tauhid asma was sifat kadang-kadang kufur dengan uluhiyyah. Tetapi jika dia beriman dengan tauhid uluhiyyah dan menyembah Allah subhaanahu wa taaala, dia juga beriman dengan dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Tauhid uluhiyyah berasaskan ucapan (Laa Ilaaha Illa Allah). Manusia dijadikan untuk menyembah Allah. Inilah intisari tauhid uluhiyyah.
Jadi untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati, seseorang itu wajib beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini serentak tanpa mengasingkan di antara satu sama lain.

Read Full Post »

Older Posts »