Feeds:
Posts
Comments

Archive for September, 2008

Alhamdulillah kita telah menjejakkan kaki di malam 25 Ramadhan. Tadi, IHRAM 08 telah menyediakan special moreh untuk santapan jemaah sesudah solat terawih dan witir. Begitu berselera para muslimin & muslimat menjamu selera. Manakan tidak kfc menjadi hidangannya. Bilangan yang hadir juga agak ramai walaupun kebiasaannya makin ke penghujung ramadhan semakin kurang yang datang untuk solat terawih. Mungkin berkat akhir Ramadhan, sebab ada pensyarah yang menghulurkan sedekah untuk moreh. Begitu murah rezeki di akhir-akhir Ramadhan ini. Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka. Besar harapan untuk melihat jemaah yang ramai untuk malam esok dan hari-hari seterusnya… Jangan lupa untuk menghidupkan malam-malam terakhir ramadhan.

Muslimin sedang menikmati kfc

Read Full Post »

Utusan Malaysia- Kampus

ARKIB : 24/09/2008
Tiga IPT raikan anak yatim
Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim di UPM, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

SESUAI dengan keberkatan yang terkandung pada Ramadan, umat Islam umumnya lebih mudah bersedekah dalam bulan ini berbanding bulan-bulan lain.

Rasulullah SAW bersabda: Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang ia gembira dengan keduanya: jika berbuka ia gembira, dan jika bertemu Allah dengan puasanya ia gembira. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama 180 anak yatim di masjid universiti berkenaan di Serdang, Selangor.

Anak-anak yatim itu daripada Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Sekolah Kebangsaan Serdang, Sekolah Menengah Sri Indah, Serdang, Sekolah Menengah Sri Serdang dan Rumah Anak Yatim Nur Hikmah, Kajang.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kesemua anak yatim berkenaan.

Sumbangan itu ditaja oleh Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings merangkap Pro-Canselor UPM, Tan Sri Rozali Ismail.

Selepas berbuka puasa, baginda turut menjalani ibadah solat maghrib, Isyak dan tarawih bersama kira-kira 2,000 warga UPM dan penduduk sekitar Serdang.

Hadir sama ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah.

Sementara itu, di Universiti Malaya (UM), Jawatankuasa Perkembangan Balai Islam Kolej Kediaman Ketiga menganjurkan majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim.

Seramai 65 anak yatim dari Rumah Anak Kesayanganku (RAK), Hulu Selangor dijemput menghadiri majlis tersebut.

Tujuan program ini ialah merapatkan hubungan antara mahasiswa kolej itu dengan anak-anak yatim di samping mewujudkan perasaan gembira menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Insaf

Program itu juga dapat menimbulkan kesedaran di kalangan mahasiswa yang menerima pelbagai nikmat Allah supaya berasa insaf apabila melihat ada golongan yang kurang bernasib baik di sekeliling kita.

Pengarah Program Ihya’ Ramadan kolej berkenaan, Ahmad Lukman Ali berkata, anak-anak yatim adalah golongan yang mulia dan mahasiswa tidak seharusnya melupakan mereka menjelang puasa dan Aidilfitri.

Pada majlis yang sama, turut diadakan aktiviti memasak bubur lambuk. Kanak-kanak dijemput berbuka puasa di samping menerima sumbangan hamper dan duit raya.

Pengetua Kolej Kediaman Ketiga UM, Prof. Madya Dr. Shariffudin Zainudin semasa merasmikan program itu berkata, program sedemikian amat digalakkan dan beliau percaya lebih banyak perkara yang boleh disumbangkan kepada golongan berkenaan terutama berkongsi ilmu yang dimiliki.

Beliau berharap mahasiswa dapat menyusun pelbagai program untuk anak yatim pada masa akan datang sebagai tanda sayang mahasiswa terhadap mereka.

“Kehidupan anak yatim mungkin berubah apabila dewasa kelak sekiranya mereka diberi peluang belajar dengan baik,” katanya.

Di Sintok, Kedah, EDC-Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mengambil kesempatan Ramadan untuk meraikan 60 orang anak yatim dari tiga sekolah di sekitar Sintok pada majlis berbuka puasa, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, 19 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok dan 11 pelajar SK Felda Bukit Tangga.

Turut sama meraikan anak-anak yatim tersebut ialah Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan isteri, Puan Sri Sabariah Mohd. Shariff serta beberapa ahli Persatuan staf UUM.

Selain meraikan mereka berbuka puasa, Nordin turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada semua anak yatim tersebut.

Tanggungjawab korporat

Sementara itu, Pengurus Besar EDC-UUM, Suzzaini Abdullah berkata, tujuan utama majlis itu adalah meraikan anak-anak yatim di sekitar Sintok sebagai salah satu tanggungjawab korporat EDC-UUM.

Ia juga bertujuan menunjukkan rasa terima kasih kepada masyarakat setempat yang memberikan sokongan padu terhadap pembangunan EDC-UUM.

Seorang pelajar SMK Bandar Baru Sintok, Muhd. Ikram Ahmad Fuzi mengucapkan terima kasih kepada EDC-UUM kerana menganjurkan majlis berbuka puasa tersebut.

Beliau yang kali pertama menikmati juadah di EDC berasa gembira dengan sumbangan dan perhatian daripada pihak UUM kepada anak-anak yatim di sekitar Sintok.

EDC yang mula beroperasi sekitar September 2006 adalah hotel untuk memberi peluang kepada pelajar UUM khususnya dalam program hospitaliti menimba pengalaman daripada situasi sebenar.

EDC juga dilengkapi kemudahan yang mencukupi bagi sebuah hotel dan menyediakan kemudahan perkhidmatan untuk semua pihak yang berminat.

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim. Salam Ramadhan Salam Lebaran.
Marilah kita sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, kerana dengan taqwa sahajalah hidup kita akan selamat dan berbahagia, iaitu dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala apa-apa jua tegahannya.
Alhamdulillah kita panjatkan seinfiniti kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana masih lagi dihidupkan untuk meniti detik-detik terakhir dalam bulan yang penuh barakah ini. Bulan pengampunan, bulan pembebasan daripada api neraka. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, sahabat-sahabat baginda, para tabi’in, para ulama’ pewaris perjuangan, dulu, kini dan selamanya.
Warga Kurshiah yang dirahmati Allah
Ramadhan datang dan pergi. Saban tahun pun begitulah juga putarannya. Tidak pernah berubah. Namun sejauh mana penghayatan dan amalan kita di bulan yang mulia ini. Makin banyakkah, sedikitkah, ataupun sama seperti bulan-bulan yang lain?. Pada bulan ini setiap amalan yang dikerjakan dilipatgandakan pahalanya tetapi ramai yang mensia-siakan peluang yang ada. Alangkah hinanya kita hamba yang lemah ini. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga”. (Hadith riwayat ibnu Majah).. Adakah itu kita?. Tepuk pipi tanya diri.
Saya suka menyebut alangkah molek jika Ramadhan ini dijadikan turning point untuk kita menjadi hamba yang bertaqwa dan beramal soleh. Diharapkan Ramadhan ini dapat melatih kita menjadi mukmin yang sejati. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Hurairah r.a, maksudnya; “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana Iman dan mengharapkan redha Allah maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. Saya yakin dan percaya tiada orang yang tidak mahu nikmat syurga dan dosanya diampunkan. Moga-moga imaginasi untuk mendapat syurga Allah yang kekal abadi menjadi realiti.
InsyaAllah Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik bagi kita dan dapat kita raikan hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna.
Pada kesempatan peluang dan ruang ini saya ingin mengucapakan tahniah buat Pelaksana IHRAM dan Balai Islam 2008/2009 yang bertungkus lumus untuk menjayakan dan mengimarahkan Ramadhan kali ini. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Ayahanda Pengetua Prof. Madya Dr Sharifuddin Zainuddin, pihak pengurusan kolej, JIK/JTK 2008/2009, serta semua warga Kurshiah yang sudi menghulurkan tangan membantu kami.
Akhir kata saya mewakili ahli-ahli JKP Balai Islam dan IHRAM 08 yang teguh berdiri untuk menyuburkan Islam di bumi Kurshiah ini, ingin mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua Warga Kurshiah. Maaf zahir dan batin.

Read Full Post »

Semua warga Kurshiah dijemput hadir ke Majlis Perasmian Penutup IHRAM 08 esok. Jam 9.45 selepas terawih. Tempat di dewan makan… Pakat maghi ramai2!!

Read Full Post »

DI ANTARA malam-malam Ramadan terdapat satu malam yang disebut lailatulqadar, malam yang penuh keberkatan dan kebaikan. Di dalam al-Quran dikatakan bahawa malam ini lebih baik daripada 1,000 bulan, sama dengan 83 tahun 4 bulan.

Sungguh beruntung orang yang memperoleh kesempatan beribadah pada malam itu.

Lailatulqadar adalah malam yang amat agung kerana dipilih Allah sebagai malam permulaan Nuzul Quran atau permulaan melimpahkan cahaya agama Allah ke seluruh alam, di samping melimpahkan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar dari hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.

Dan ia harus diimani oleh setiap umat Islam berdasarkan firman Allah dalam surah Ad Dukhan ayat 3 hingga 5 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al- Quran itu pada malam berkat (malam lailatulQadar); (kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba kami ditimpa azab). Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut, kerana pada malam yang berkat itu, dijelaskan (pada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan kami.

Jika kita renungkan kembali pada hari ini pada abad-abad yang sekian lama meninggalkan peristiwa lailatulqadar, dan kita gambarkan kembali temasya indah yang disaksikan oleh bumi pada malam itu, di samping memerhatikan apa yang berlaku pada malam itu dan meneliti kesan-kesannya di samping zaman, kepada dunia dan kepada kefahaman hati dan akal manusia tentulah kita dapati bahawa lailatulqadar sebenarnya suatu malam yang sungguh agung.

Pada malam itu, Allah menjelaskan segala urusan yang bijaksana, meletakkan nilai-nilai, dasar-dasar dan neraca-neraca dan menetapkan kedudukan yang lebih besar dari kedudukan individu umat atau bangsa, malah lebih besar dari itu lagi iaitu kedudukan hakikat peraturan dan hati manusia.

Dari Anas meriwayatkan sebuah hadis Rasululah s.a.w. yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada umatku lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat-umat sebelum mereka. (Riwayat Ad Dailani).

Nabi kita menggalakkan kita dan ahli keluarga menghidupkan malam itu dengan amal ibadat. Rasulullah sendiri sering meningkatkan peribadatannya khususnya pada 10 hari terakhir dari bulan tersebut. Bahkan keluarganya dibangunkan, diajak memperbanyakkan amal di tengah malam.

Diriwayatkan bahawa Nabi membangunkan Fathimah dan Ali kemudian berkata kepada kedua-duanya, “Bangunlah, kemudian solatlah.” Beliau membangunkan Aisyah pada waktu malam apabila hendak menunaikan tahajudnya serta witir.

Diriwayatkan bahawa Nabi berjaga pada malam 23, 25 dan 27, dan disebutkan bahawa ia mendoakan keluarga dan isterinya terutama pada malam ke-27. Hal ini menunjukkan bahawa beliau menganjurkan mereka tentang bilangan hari yang ganjil yang diharapkan di dalamnya ada lailatulqadar. Imam ath-Thabrani meriwayatkan dari Ali bahawa Nabi membangunkan keluarganya, yang kecil mahupun besar untuk solat pada 10 malam terakhir.

Sufyan ats-Tsauri berkata, Aku lebih suka bila masuk sepuluh yang akhir untuk bertahhajud di malam hari dan bersungguh- sungguh di dalamnya, membangunkan keluarga dan anak untuk solat bila mereka kuat melakukannya.

Solat malam

Disebutkan dalam Al-Muwaththa bahawa Umar ibn al-Khaththab, solat malam sesuai kehendak hatinya dan jika datang pertengahan malam ia membangunkan keluarganya untuk solat. Ia berkata kepada mereka, “solat, solat” dan membaca sepotong ayat yang maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu untuk solat dan bersabarlah atasnya. ( Thaha: 132).

Nabi juga memerintahkan untuk mencari lailatulqadar agar kaum Muslim tidak disibukkan sepanjang malam-malam Ramadan dengan kesenangan yang dibolehkan. Baginda memerintah untuk mencari lailatulqadar dengan bertahajud terutama pada malam-malam yang diharapkan lailatulqadar. Nabi bercampur dengan keluarganya hingga 20 Ramadan, kemudian menjauhi isteri-isterinya untuk mencari lailatulqadar pada 10 yang terakhir. Di antaranya mengakhirkannya untuk makan sahur. Aisyah dan Anas meriwayatkan bahawa Nabi jika datang Ramadan, akan mendirikan solat malam dan tidur. Apabila masuk 10 hari terakhir; ia mengetatkan ikat pinggang, menjauhi isteri dan mandi di antara dua azan dan mendirikan isya, waktu sahur.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang melakukan ibadat pada lailatulqadar kerana didorong keimanan dan harapan mendapatkan pahala dari Allah nescaya diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Asy-Syafii berkata dalam Qaul Qadim, “Disunatkan bersungguh-sungguh beribadah pada siang hari sebagaimana bersungguh- sungguh di malam hari.” Ucapan ini menunjukkan sunatnya bersungguh-sungguh dalam semua masa selama 10 hari terakhir Ramadan, malam dan siangnya.

Jika lailatulqadar datang setiap tahun maka sudah tentu ada tanda-tanda kedatangannya. Justeru lailatulqadar sesuatu yang abstrak, spiritual dan rohaniah. Maka terdapat pelbagai pendapat mengenai cara kedatangannya atau cara seseorang itu memperoleh lailatulqadar. Tidak sedikit dari cerita-cerita itu bersifat mitologi, yang tidak boleh dipertanggungjawabkan, tidak masuk akal dan mengada-ngada.

Ada cerita, kalau lailatulqadar turun maka air sungai berhenti mengalir, tumbuh-tumbuhan tunduk tenang, alam raya terlihat cerah, bintang bersinar dan sebagainya. Mungkin semua itu pernah terjadi terutama di wilayah geografinya memungkinkan – seperti air membeku, tetapi tidak ada kaitannya dengan lailatulqadar. Jadi peristiwanya cuma kebetulan.

Sentiasalah berdoa agar dipertemukan dengan malam lailatul qadr
Hakikatnya bagaimanakah al-Quran berbicara soal tanda-tanda lailatulqadar?

Dalam surah al Qadr (97) ayat terakhir, Tuhan menyebut tanda-tandanya: Salaamun hiya hatta matlail fajr – kedamaian atau kenikmatan hakiki (terjadi) pada malam itu sehingga terbit fajar. Jadi jelas bahawa tandanya tidak bersifat lahiriah, kerana kedamaian itu adalah sesuatu yang dapat dirasakan. Maka barang siapa yang mendapatkan lailatulqadar, dia akan merasakan kedamaian atau ketenangan yang luar biasa dalam dirinya pada malam itu hingga terbit fajar.

Itu sebabnya dalam Surah ad Dukhan (44) ayat 3 lailatulqadar disebut sebagai laylatun mubaarakah kerana kedamaian hati yang bersumber langsung dari Allah adalah berkat yang paling tinggi. Ia bagaikan air sejuk bagi seorang musafir yang kehausan. Yang kedua, al-Quran adalah sumber pengetahuan tertinggi dan, kerananya, kebenaran tidak diragukan. Ia hanya boleh dicapai oleh darjat keintelektualan yang paling tinggi, intelek kenabian. Maka kalau anda boleh mendapatkan percikkannya (saja) pada malam lailatulqadar, bererti – berkat mujahadah anda hingga saat itu – anda berhasil menyentuhi intelek kenabian; dan itu adalah kenikmatan dan sekali gus berkah yang paling tinggi. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh malam terakhir, pada malam ganjil. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tentang bila datangnya lailatulqadar banyak riwayat mengaitkan dengan malam-malam ganjil di 10 hari terakhir. Mungkin ini ada hubungannya dengan hadis lain yang meyebut bahawa, Allah itu ganjil dan menyenangi yang ganjil-ganjil.

Jika anda benar-benar berkeinginan mendapatkan lailatulqadar, anda harus melakukan kiam Ramadan. Iaitu menghidupkan sepanjang masa bulan Ramadan, siang dan malam, dengan taklim (belajar), ibadah, zikir, solat sunah, dan qiraah (tadarus dan telaah) al-Quran; memusatkan seluruh pintu indra yang memungkinkan dosa dan fikiran-fikiran buruk hinggap di hati anda.


Ciri-ciri orang yang mendapat lailatulqadar mengikut al-Quran:

* Iaitu mereka yang beriman kepada ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka; dan mereka yang beriman kepada apa-apa yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) dan apa-apa yang Kami turunkan sebelum kamu, serta mereka yakin kepada (adanya) kehidupan akhirat. (al-Baqarah [2]: 2-4)

* Iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberi harta yang diicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, anak jalanan (termasuk musafir yang memerlukan pertolongan), orang-orang yang meminta-minta, (menghilangkan) perbudakkan, mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janjinya apabila berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan saat ditimpa musibah… (al-Baqarah [2]: 177)

* Iaitu orang-orang yang menginfakkan (hartanya di jalan Allah), baik di waktu lapang maupun sempit; orang-orang yang dapat menahan amarahnya; dan memaafkan (kesalahan) manusia… ( Ali ‘Imran [3]: 134)

* Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang (ciri-cirinya) dia mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya; bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin; berwibawa terhadap orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah; dan tidak takut terhadap celaan orang-orang yang mencela… (al-Maaidah [5]: 54).

* Iaitu mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya; apabila dibacakan kepada mereka ayat- ayat- Nya bertambah imannya dan (hanya) kepada Tuhannya mereka menyerahkan diri. Juga mereka yang mendirikan solat, dan menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya. (al- Anfaal [8]: 2-3).

* Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya; dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia; dan orang-orang yang menunaikan zakat; dan orang-orang menjaga kemaluannya; dan orang-orang yang memelihara amanah dan janjinya; dan orang-orang yang memelihara solatnya… (al-Ma’aarij [70]: 22-34)

Read Full Post »

Majlis Penutup IHRAM ’08

Semua warga Kurshiah dijemput untuk menghadiri Majlis Penutup IHRAM yang akan diadakan seperti berikut:

Masa: Selepas terawih (9.40malam)

Tarikh: 22 September 2008 (Isnin)

Tempat: Dewan makan KK3

Ramadhan 4 All

Read Full Post »

Salam ramadhan…

Kita dikejutkan dengan laporan daripada media massa yang menyiarkan artikel tentang kematian 23 orang wanita yang berasak-asak untuk mendapatkan sumbangan zakat di Indonesia. Menurut laporan berkenaan, seorang penduduk kaya ( ahli perniagaan ) yang tinggal dikasawan berkenaan memaklumkan untuk memberi zakat kapada penduduk disekitar kawasan rumahnya. Perkara itu menyebabkan ribuan fakir miskin membanjiri rumah dermawan berkenaan sejak jam 6 pagi lagi. Jumlah zakat yang diagihkan hanyalah berjumlah RM 16 seorang.

“KERANA RM16… Salah seorang wanita yang selamat terbaring di tengah-tengah mayat fakir miskin dan mereka yang cedera dalam kejadian berasak-asak merebut wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16) di Pasuruan, Jawa Timur.

Dalam kejadian itu, sebanyak 23 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera dalam rempuhan apabila kira-kira 5,000 fakir miskin berebut-rebut untuk menerima bantuan zakat daripada seorang peniaga di Pasuruan, semalam” – Petikan dari Berita Harian

Sungguh memilukan kita semua ketikamana kita dicurahkan dengan pelbagai nikmat yang dikurniakan, dalam pada itu masih ada rakan-rakan yang seagama dengan kita ‘sanggup’ mati dek kerana nak mendapatkan zakat yang berjumlah RM16 sahaja. Fikirkanlah sahabat-sahabat semua dengan nikmat yang kita perolehi hari ini berbanding umat islam di Indonesia pada hari ini sepatutnya menjadikan kita seorang hamba yang lebih bersyukur.

Oleh itu, bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan dengan cara kita mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan yang diperintahkan kepada kita dan juga meninggalkan semua larangan yang ditetapkan.

Read Full Post »

Older Posts »