Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 29th, 2008

الَلهمَ بلَغنا رمضان

“Ya Allah Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.

Persediaan

Iman

1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).

2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.

3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).

4. Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

6. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu

1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.

2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.

3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Dakwah

1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.

2. Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.

3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.

4. Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.

5. Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan

Keluarga

1. Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.

2. Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.

Keazaman

1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.

2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.

5. Sentiasa berlapang dada.

6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad

1. Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.

2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).

3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.

5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

Advertisements

Read Full Post »

Seperti yang telah dimaklumkan, Balai Islam akan mengadakan Hari Interaksi pada masa dan tempat seperti berikut:

Masa: 30 ogos 2008 (Sabtu) 8-12tghari

Tempat: Taman Jaya PJ (depan Amcorp Mall)

Pakaian: Sukan

Jadi semua AJK Balai Islam dan Ihya’ Ramadhan dijemput untuk hadir…

ukhwah fi sabilillah sokmo (^^,)

Iklim Dini Teras Kejayaan

Read Full Post »

TEKA-TEKI IMAM GHAZALI

1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita di
dunia?

2. Apakah yang paling jauh daripada diri kita di
dunia?

3. Apakah yang paling besar di dunia?

4. Apakah yang paling berat di dunia?

5. Apakah yang paling ringan di dunia?

6. Apakah yang paling tajam di dunia?

Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu
beliau bertanya beberapa soalan:

PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” Orang tua, guru, kawan dan sahabat”. Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah ‘mati’. Sila rujuk surah Ali ‘Imran ayat 185

KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” negara China, bulan, matahari dan bintang”. Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘masa lalu’. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke amasa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: ” Gunung, bumi, matahari”. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah ‘nafsu’. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahannam. Rujuk surah al-A’raf ayat 179

KEEMPAT belia bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu murudnya menjawab :” Besi, gajah”. Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘menanggung amanah’. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :” Kapas, angin, debu dan awan”. Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘meninggalkan sembahyang’ kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab :’ Pedang”. Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘lidah manusia’ di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

Read Full Post »