Feeds:
Posts
Comments

Archive for August, 2008

Wahai insan, renunglah engkau akan nasib diri
Wahai qalbu, sedarkah engkau akan gerak hati
Wahai aqal, terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi

Andai ini merupakan Ramadhan ku yang terakhir kali
Buatku sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
Kematian…adalah sesuatu yang pasti…..

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya aku sibuk berzikir
“a’la bizikrallahi tat mainnal qulub”
[Bukankah dgn berzikir itu hati akan menjadi tenang..]
Biarpun anak tekakku kering kehausan air
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair
Rindu mendayu..
Merayu…
Kepada-NYA Tuhanku yang satu…


Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu solatku dikerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjai…
Sungguh khusyuk lagi tawadhu’
Tubuh, minda, dan qalbu…bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil…
Menangisi kecurangan janji
“innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin”
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku…kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]

 

 

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tidak akan aku persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal ku dendang…bakal ku syairkan

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu malammu aku sibukkan dengan
Berterawih…
Berqiamullail…
Bertahajjud…
Mengadu…
Merintih…
Meminta belas kasih….
“sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MUtapi…aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU”

Oleh itu duhai Ilahi…
Kasihanilah daku hamba-MU yang…
Hina..
Dhaif..
Jahil..
Lagi Banyak Dosa ini..
Menikmati bulan yg dirindui oleh nabi dan sahabatNya..
Moga setiap langkah ku zuhud kepada MU..
Moga ku istiqamah di ramadhan ini..

ANDAI AKU TAHU INI RAMADHAN TERAKHIR………

Read Full Post »

Lebih kurang jam 8.20 malam tadi, pemegang mohor besar raja-raja telah mengumumkan esok puasa…

“HIDUPKAN ramadhan, ISTIQAMAHKAN amalan, TEGUHKAN keimanan”. Selamat berpuasa…

Read Full Post »

الَلهمَ بلَغنا رمضان

“Ya Allah Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.

Persediaan

Iman

1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).

2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.

3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).

4. Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

6. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu

1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.

2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.

3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Dakwah

1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.

2. Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.

3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.

4. Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.

5. Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan

Keluarga

1. Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.

2. Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.

Keazaman

1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.

2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.

5. Sentiasa berlapang dada.

6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad

1. Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.

2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).

3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.

5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

Read Full Post »

Seperti yang telah dimaklumkan, Balai Islam akan mengadakan Hari Interaksi pada masa dan tempat seperti berikut:

Masa: 30 ogos 2008 (Sabtu) 8-12tghari

Tempat: Taman Jaya PJ (depan Amcorp Mall)

Pakaian: Sukan

Jadi semua AJK Balai Islam dan Ihya’ Ramadhan dijemput untuk hadir…

ukhwah fi sabilillah sokmo (^^,)

Iklim Dini Teras Kejayaan

Read Full Post »

TEKA-TEKI IMAM GHAZALI

1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita di
dunia?

2. Apakah yang paling jauh daripada diri kita di
dunia?

3. Apakah yang paling besar di dunia?

4. Apakah yang paling berat di dunia?

5. Apakah yang paling ringan di dunia?

6. Apakah yang paling tajam di dunia?

Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu
beliau bertanya beberapa soalan:

PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” Orang tua, guru, kawan dan sahabat”. Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah ‘mati’. Sila rujuk surah Ali ‘Imran ayat 185

KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” negara China, bulan, matahari dan bintang”. Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘masa lalu’. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke amasa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: ” Gunung, bumi, matahari”. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah ‘nafsu’. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahannam. Rujuk surah al-A’raf ayat 179

KEEMPAT belia bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu murudnya menjawab :” Besi, gajah”. Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘menanggung amanah’. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :” Kapas, angin, debu dan awan”. Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘meninggalkan sembahyang’ kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab :’ Pedang”. Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘lidah manusia’ di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

Read Full Post »

jkp balai islam 2009/2008

Read Full Post »

Jiwa Dai’e Otak Faqih

Tulisan ini saya ambil dari http://www.saifulislam.com


Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?

Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”

Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.

Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.

Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Da’i Otak Fiqh. Bagi kita yang berperanan sebagai Da’i, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’i. Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be Understood“.

Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa. Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Da’i tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR. Ini bukannya masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith
Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para ustaz yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”
Seorang Da’i yang berjiwa Da’i akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa. Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?

Saya selalu terkenang dialog saya ketika bertemu dengan seorang anak gadis kita yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10 tahun dan kini telah mencecah 20 tahun, beliau dibesarkan di Boarding School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dia mengajukan soalan kepada saya, “do you believe in wearing scarf for Muslim girl? I don’t believe in wearing scarf. If God doesn’t want us to show our hair, then He will create us hairless. I don’t want to wear scarf.”

Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat, kenapa tidak boleh bela anjing di rumah dan sebagainya. Seandainya saya mengambil pendekatan ‘seorang ustaz’, mungkin saya akan menjelaskan ayat-ayat al-Quran dan Hadith berkaitan kewajipan bertudung dengan panjang lebar dan penuh nota kaki. Akhirnya saya sahaja yang akan kagum dengan diri sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya saya ingat dan bentangkan dengan fasih! Gadis tersebut mungkin menguap dan menutup telinganya sambil menanti saya mengangkat punggung dan beredar.

Tetapi saya cuba membawa gadis tersebut ke persoalan yang lebih pokok. Saya sebutkan kepada gadis tadi, “semua soalan anda tadi adalah persoalan kelapan dan kesembilan kita. Ada persoalan awal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu”.

“Oh begitu. Baik, apa persoalan utama awak?”, tanya gadis tadi.

“Menyelesaikan persoalan TUJUAN HIDUP!” jawab saya.

“Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?”, tanyanya lagi.

“Cuba awak bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di padang bola tiada tiang gol! Atau awak main golf tetapi tidak tahu di mana lubangnya. Apa rasanya kalau awak terlibat dalam permainan seperti itu?”, saya menguji.

“Silly game.. mengarut!”, ujarnya sambil tersengih.

“Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Betul tak?”, saya menyoalnya. Dia menggangguk.

“Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita nak fokus dan membuat prioriti? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa kegagalan untuk fokus dan membuat prioriti, pasti mengundang kegagalan. Awak setuju?”, saya meneruskan perbualan.

“Ya, saya boleh bersetuju.”, jawabnya.

“Apa tujuan hidup awak?”, saya menyoal.

Jadi, apa tujuan hidup awak?”, beliau bertanya kepada saya.

“Saya nak berjaya dalam kerjaya dengan pendapatan jutaan Pound setahun.”, katanya dengan yakin.

“Bagi kita yang belum dapat pendapatan begitu, mungkin kita sangka itu tujuan hidup kita. Tapi bagi yang dah dapat, macam jutawan-jutawan dunia yang kita kenal, ketika mereka sampai ke puncak yang didaki, rupa-rupanya jiwa mereka masih kosong dan mereka masih terus bertanya, apakah untuk ini aku hidup? Akhirnya ramai di kalangan mereka yang gagal dalam rumah tangga walaupun berjaya mengurus syarikat, malah ada yang membunuh diri. Awak rasa itu kejayaan ke?”, saya bertanya kepadanya lagi.

“Hmm…”, sepi tanpa jawapan…

“Habis, apa tujuan hidup awak?”, gadis itu bertanya kepada saya.

“Hmm, awak rasa, saya ada ke jawapannya? Awak ada jawapannya? Saya rasa kita sama-sama tak ada jawapan sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan, andai dia boleh menjawab, mungkin dia tidak tahu kenapa dia berada di sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual.

Begitulah juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada Tuhan yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama…”

“Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?“, gadis tersebut mengacukan soalannya.

“DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu. Surah al-Dzariyat ayat 56″. Jawabku.

Lantas saya mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada beliau konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya saya membuat kesimpulan berikut:

“Seandainya saudari boleh menerima hakikat yang saudari perlukan Tuhan dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Tuhan dalam hidup ini.”

“Jika saudari boleh bersetuju dengan kewajipan sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai tudung. Analoginya jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod berpakaian, dan itu haknya kerana dia ketua pemerintah negara. Maka apatah lagi untuk menghadap Allah di dalam sembahyang dan di luar sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia.”

“Dan jika awak setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tidak benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing, samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat sahaja!”, saya mengakhiri penerangan terhadap semua persoalan yang tertangguh.

Alhamdulillah dalam tempoh sejam pertemuan saya dengannya, itulah hasil perbincangan kami. Walaupun kesannya saya tidak pasti tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba untuk menghadapi mad’u saya dengan Jiwa Da’i Otak Faqih dan tidak sebaliknya. Gadis itu ada latar belakang keluarga yang berbeza. Dia bukan seperti saya dan kehidupan saya. Kerana itulah saya mesti terlebih dahulu cuba belajar untuk memahami keadaan dia sebelum memutuskan apakah pendekatan dakwah yang patut saya ambil. Andai saya hamburkan kemarahan atas provokasi gadis tadi, tentulah perbualan kami terhenti di situ dan saya sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum secara sacarstic, “inilah perangai bebudak sekarang!”

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Read Full Post »

Older Posts »