Feeds:
Posts
Comments

Kenapa HATI kita MATI?

100_0968

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: “Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik.” (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;

Sebahagian�daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;

* Hubbul dunia (kasihkan dunia)

* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)

* Membanyakkan makan dan menjatuhkan�anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

*Zuhud dengan dunia

* Zikrullah

*Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

Assalamualaikum. Entah mengapa semenjak kebelakangan ini selalu aja terserempak dengan pasangan yang sedang dibius cinta di sekitar KK3. Adus! Ke sana ada, ke sini ada…Adakah mempunyai pakwe atau makwe menjadi satu trend remaja hari ini.. Tapi trend-trend juga, jangan lupa pada yang Esa!

Di sini saya selitkan Teori Evolusi Cinta dari http://saifulislam.com buat renungan kita bersama.. InsyaAllah!

evolusicinta-e2

“Korang ni asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Siti kepada rakan sebiliknya.

“Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?” balas Nur.

Keras bunyinya.

Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.

“Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun. Come on la wei!” Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.

“Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini banyak pula songel kau?” bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim.

Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perlakuan mereka.

‘KEBIJAKAN’ BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU

Seperti gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu. Tujuannya ialah supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada ibadah khusus mereka kepada Allah.

Namun kaum yang bijak ini, pantas bermain helah.

Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka.

“Salah ikan, bukan salah kami!” barangkali begitulah helah mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“”Dan tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik lagi durhaka” [al-A’araaf 7: 163]

Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal dikurniakan Allah kepada manusia agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya, bukan berputar belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.

“Asfala saafileen,” kata al-Quran.

Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!” [al-Baqarah 2: 65]

Inilah TEORI EVOLUSI CINTA. Bermula dengan sebaik-baik kejadian, mereka bermain cinta murahan beralaskan akal dan hujah-hujahnya. Dengan cinta sehina itu, manusia beransur-ansur turun sifat kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi benteng iman. Akhirnya menjadi kera.

Kera itulah barangkali yang terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet terkena sumpahan Allah ke atas kaum yang mensesiakan akal kurniaan Tuhan untuk menipu Tuhan.

BATAS PERGAULAN

Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Kalimah mataa’an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran, mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan, tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia dengan perantaraan HIJAB.

Hijab itu tafsirannya luas.

Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.

Apakah tujuannya semua itu?

Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.

“Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith, ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’.

Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima sms pada jam 5 pagi tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.

Iaitulah soal HATI!

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”

Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?

Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.

Mulut kalian tidak menyebut.

Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.

Tubuh kamu tidak menampakkan calar.

Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu.

Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.

Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik Dia.

Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

kerabunga1

Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.

Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.

Alhamdulillah selesai sudah Program MPI yang berlangsung dari 15-20 Februari 2009. Berikut adalah program yang berjaya dilangsungkan.

Bengkel Pengurusan Jenazah JAKIM
Ahad, 15 Februari 2009, 9pagi
Surau AnNajihin KK3

Ceramah Perdana
Oleh Brother Shah Kirit Kokulal Govindji
Isnin, 16 Februari 2009, 8malam
Dewan Makan KK3

Kuiz Agama
Selasa, 17 Februari 2009, 9malam
Dewan Makan KK3

Pertandingan Hafazan Al-Quran
Rabu, 18 Februari 2009, 9malam
Surau AnNajihin KK3

Bacaan Yaasin & Tayangan Perdana
Khamis, 19 Februari, 8-10.30malam
Surau AnNajihin & Bilik Sidang KK3

Majlis Penutup MPI
Jumaat, 20 Februari 2009, 9malam
Dewan Makan KK3

Semoga Islam:Cara & Jalan Hidupku bukan retorik semata-mata. Jadikanlah AlQuran dan AsSunnah sebagai pegangan!

“Katakanlah seandainya seluruh manusia ingin memberi manfaat kepada mu,nescaya tidak akan berlaku jika Allah ingin menimpakan bencana atas mu,dan katakanlah seandainya seluruh manusia ingin menimpakan bencana atasmu,maka tidak akan berhasil seandainya Allah ingin mengurniakan manfaat atasmu.Maka janganlah sesekali kamu membelakangi Allah dalam urusan duniamu.. dan jika Allah kehendaki nescaya dipermudahkan bagimu apa yang kamu hadapi”.

Ahlan Wasahlan 1430H

maalhijrah

Petang ini bermulanya episod tahun baru yang sebenar bagi Umat Islam seluruh dunia yang sememangnya memerlukan kita merenungi tentang konsep TAHUN BARU HIJRAH dan pengertian PENGHIJRAHAN yang sebenarnya bagi Umat Islam.

Cuba kita renungi kembali sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah yang telah mencetus satu perubahan besar dalam sejarah Umat Islam. Walaupun sebelum itu telah berlaku beberapa penghijrahan kecil seperti penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah dan Madinah namun ia hanya sekadar penghijrahan biasa sahaja. Walaupun dari sudut pandangan kasar kita, penghijrahan rasul ini dilihat seolah-olah seperti ‘undur ke belakang’ atau semata-mata melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Mekah namun sebenarnya penghijrahan tersebut merupakan satu arahan dan perintah dari Allah s.w.t bagi meneruskan kewajipan sebagai seorang Rasulullah s.w.t untuk menegakkan Panji Islam dan melaksanakan suruhan Allah s.w.t di dalam mewujudkan satu komunit Islam yang hidup bermasyarakat dan bernegara.

Kita renungi semula SEJARAH PENGHIJRAHAN RASUL – HIJRATUL RASUL ini agar generasi sekarang tidak lupa kepada pengertian Hijrah yang sebenar serta sejarah yang berlaku di sebaliknya. Hijrah ini bermula apabila pemuka-pemuka Quraisy yang merasa tercabar dengan penyebaran Islam di Kota Mekah telah melakukan pelbagai bentuk seksaan dan kezaliman terhadap Muslimin pada waktu itu. Anak isteri dipisahkan, harta benda dirampas, nyawa diragut, dipukul dan diseksa dengan seksaan yang begitu dahsyat dan mengerikan, namun tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu tidak berjaya juga menghalang kebangkitan Islam yang semakin luas penyebarannya dari sehari ke sehari.

Maka para pemuka Quraisy yang mewakili kabilah masing-masing telah mengadakan MESYUARAT TERGEMPAR atau persidangan pada 26 Safar tahun ke 14 kenabiaan di Darul Nadwah bagi membincangkan isu Islam, Umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam persidangan tersebut iblis turut menghadirinya dengan menyamar sebagai Syeikh An-Najd (Seorang tua dari Najd) yang turut memberi cadangan dan usul yang jahat. Persidangan tersebut akhirnya berakhir dengan menerima cadangan dari Abu Al-Aswad agar Rasulullah s.a.w dibuang negeri dan kemudian menerima pula cadangan dari Abu Al-Buktari yang mencadangkan agar Rasulullah s.a.w dipenjarakan.

Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Jibril tentang pakatan jahat kaum Musyrikin tersebut dan memerintahkan agar Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yathrib (Madinah). Rasulullah s.w.t telah memberitahu sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq r.a tentang makluman dan perintah dari Allah s.w.t tersebut dan membuat persiapan dan perancangan untuk berhijrah dari tanah kelahirannya itu.

Ringkasnya, Rasulullah s.a.w telah memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib r.a agar berbaring menggantikannya di tempat pembaringan dan menyampaikan beberapa pesanan dan amanah kepada Ali. Helah yang dilakukan oleh baginda ini telah berjaya memperdayakan pengintip-pengintip Quraisy yang telah mengintai tempat pembaringan Rasulullah s.a.w dan melihat sekujur tubuh sedang tidur yang disangkakan Rasulullah s.a.w itu. Rasulullah s.a.w telah berjaya melarikan diri dari kepungan Quraisy tersebut tanpa disedari oleh mereka walaupun seorang pun.

Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah bertolak ke arah selatan menuju ke ‘Gua Thur‘ dan bermalam di dalamnya selama 3 malam. Dalam tempoh tersebut, Asma dan Aisyah telah membawa bekalan makanan manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik bagi mendengar sebarang berita atau perancangan dari pembesar Musyrikin, dan Amir bin Fuhaira’ pula mengembala kambing di sepanjang laluan yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a bagi menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka berdua itu. Sewaktu Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar berada di Gua Thur ini telah berlaku beberapa mukjizat seperti sarang labah-labah dan sebagainya.

Pihak Quraisy yang kecewa akibat tidak berjaya menangkap mereka berdua telah mengumumkan ‘SPECIAL OFFER‘ berupa ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya memberkas 2 orang pelarian yang amat-amat dikehendaki itu. Tawaran ini telah berjaya menarik minat Suraqah bin Malik yang telah berjaya mengesan jejak mereka berdua dan mengejarnya dari belakang. Namun impiannya untuk mendapatkan 100 ekor unta tersebut berkecai akibat beliau dan kudanya tersungkur rebah ke tanah.

Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar As-Siddiq r.a telah meneruskan perjalanan mereka berdua melalui beberapa perkampungan di antaranya ‘Tihama‘ dan melintasi padang pasir yang luas dalam keadaan panas terik yang membakar padang pasir sahara. Perjalanan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan dengan melintasi padang pasir, batu-batu kapur, lembah-lembah curam, binatang berbisa, kedinginan malam hari dan 1001 macam bentuk kepayahan itu berjaya diharungi dengan hanya berbekalkan keimanan, ketabahan, kesabaran, kepatuhan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Akhirnya Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah tiba di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal tahun ke 14 Kenabiaan, sebahagian ulamak mengatakan hari tersebut bertepatan dengan 12 Rabiul Awwal. Baginda telah menetap di situ selama 4 hari dan mendirikan Masjid Quba’.

Maka pada hari Jumaat, 16 Rabiul Awwal bergemalah laungan “Thola’al Badrul Alaina” yang merupakan laungan nasyid Selamat Datang oleh penduduk “Yathrib” yang diiringi laungan takbir memecah kesunyian bandar tersebut. Rasulullah s.a.w menunaikan solat Jumaat di ‘Yathrib’ dan menukarkan nama bandar ‘Yathrib’ itu kepada ‘Madinaturrasul‘ atau ‘Al-Madinah‘. Maka dengan itu tertegaklah sebuah negara Islam Madinah dengan rasminya dan disitulah juga merupakan titik permulaan bagi penyebaran Islam ke serata dunia.

Unta Rasulullah s.a.w terus bergerak menuju sehingga ke tempat jemuran kepunyaan 2 orang anak yatim iaitu Shal dan Suhail bin Amr, Rasulullah s.a.w kemudian membeli tempat itu untuk membangunkan masjid dan tempat kediamannya. Rasulullah s.a.w telah menumpang di rumah Abu Ayyub bin Khalid bin Zaid sementara menunggu tempat tinggalnya siap dibina.

Detik bersejarah tersebut telah disaksikan oleh seluruh penduduk Madinah termasuk golongan Yahudi yang telah melihat kedatangan seorang Rasul yang membawa amanah dari Allah s.w.t yang kemudiannya berjaya menyatukan puak Aus dan Khazraj serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar yang merupakan satu ikatan persaudaraan yang unggul dan gemilang dalam sejarah Umat Islam.

Oleh itu sahabat-sahabat sekalian, jadikan Hijrah ini sebagai satu titik permulaan bagi MENGUKUHKAN KEIMANAN, MENINGKATKAN KETAKWAAN dan MENEGUHKAN SYARIAT ISLAMIAH agar kita menjadi individu Muslim yang aktif, positif, produktif dan inovatif agar bersesuaian dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Kamu merupakan sebaik-baik Ummah yang telah dikeluarkan untuk seluruh umat manusia…..“

Renungilah detik-detik bersejarah yang tersimpan di dalam Awal Muharram atau Maal Hijrah ini dan perlu diketengahkan dan diperbincangkan sekurang-kurangnya sekali setahun. Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian bahawa di dalam peristiwa ini tersimpannya pelbagai ‘elemen-elemen’ yang boleh dijadikan pedoman dan iktibar bagi menyuburkan ‘Ruh Islamiah’ yang mungkin semakin hari semakin di’gelap’kan oleh pelbagai bentuk anasir maksiat dan mungkar yang semakin canggih dan mempersonakan.

Selamat datang 1430H… Cintai, Fahami, Jiwai Sirah.

Pelangi Kehidupan

3048681581_1670298c8c_o

(Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah 10H di Lembah Uranah, Gunung Arafah)*

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ‘Ibadah haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu..

e057bf27360e4d84

Bulan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah adalah kemuncak bulan haji. Zulhijjah membawa erti “bulan haji”. Sejak dari sebelum zaman Rasulullah SAW lagi umat manusia telah mengerjakan haji di bulan Zulhijjah.

Sejarah telah merakam berbagai peristiwa yang berlaku di bulan Zulhijjah. Berikut adalah diantara peristiwa penting yang pernah tercatat di bulan Zulhijjah;

1. Penyembelihan Nabi Ismail AS. Umat Islam samaada yang berada di Makkah ataupun di mana-mana disunatkan untuk berkorban menyembelih samaada unta, lembu, atau kambing pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

2. Baiatul Aqabah. Pada tahun ke-13 selepas perlantikan Baginda SAW menjadi nabi, berlakulah peristiwa Baiatul Aqabah (perjanjian setia Aqabah), ianya disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj.

3. Hajjatul Wida’ (Haji Selamat Tinggal) Pada peristiwa Hajjatul Wida’ itu, baginda SAW menyampaikan khutbah terakhirnya (Khutbatul Wida’) kesemua amanat-amanatnya adalah intipati peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.

4. Umar RA meninggal dunia,Uthman RA dilantik. Umar RA adalah sahabat rapat Rasulullah SAW dan terkenal dengan sifat tegas dan cerdik sehingga digelar dengan Umar Al-Faruk (pembeza). Pada tahun 23 Hijrah, Amir Al Mu’minin Umar bin Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu’luah Al Majusi. Dengan itu urusan kepimpinan negara bertukar kepada Saidina Uthman RA.

5. Ali RA menjadi khalifah yang keempat. Perlantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah. Dan akhirnya Ali juga di bunuh oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

wp152

Bulan Zulhijjah adalah bulan haji, maka ibadat haji adalah menjadi keutamaan dikerjakan di bulan ini. Bagi yang mengerjakan haji, kita doakan mereka pergi dan kembali dalam keadaan selamat. Moga ibadah haji mereka akan diterima Allah SWT.

Bagi yang masih belum berkesempatan dan belum berkemampuan, bersabarlah dan sentiasalah memasang cita-cita untuk ke Makkah di tahun akan datang, InsyaAllah. Pada 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau disebut juga dengan Hari Raya Korban dalam bahasa Arabnya Idul Adha. Kita disunatkan bersolat sunnat ‘Id di pagi harinya dan disunnatkan menyembelih binatang ternak yang berkaki empat (unta, lembu atau kambing).

Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah dikenali dengan Hari Taysrik yang mana diharamkan kita berpuasa padanya dan korban masih disunnatkan lagi dilakukan. Disunatkan juga kita bertakbir setiap masa khasnya selepas solat pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.